Friday, September 26, 2008

Kenangan lalu

Minggu ni merupakan minggu terakhir kita berpuasa, dan merupakan minggu yang paling ditunggu-tunggu ye la dah dekat nak raya, jadi ramai la yang nak balik kampung dan sebagainya. Sebut saja pasal balik kampung ni teringat pula kampung halaman sendiri, hampir sepuluh tahun dah saya sambut raya diperantauan iaitu di johor. al maklum lah nak balik sendiri terlalu jauh, jadi raya je la kat kampung orang.

Kalau nak cerita pasal raya kat kampung ni memang terlalu banyak kenangannya, tapi saya akan cerita sikit la bagaimana suasana menyambut raya dikampung dulu. kemeriahan raya yang sebenar yang dapat saya ingat sampai sekarang ialah ketika saya berumur 7 tahun, iaitu pada tahun 1996. pada minggu terakhir puasa mak dah bawa pergi kedai nak cari baju raya, kalau dulu nak beli baju setahun sekali baru dapat, sebab tu lah bila sebut je pasal baju raya seronok tak terkata, biasa orang kampung. jadi nak dapat pakai baju baru kena tunggu raya la baru dapat begitu la masa budak2 dulu betapa berharganya baju yang dapat pada hari raya. bila nak beli baju raya ni tengok dulu kawan2 lain beli baju ape, lepas tu baru la beli sebab sama dengan kawan.

baju pun sudah beli, lepas tu tunggu la hari yang dinanti-nantikan, sebelum buka puasa, orang kampung datang ramai-ramai duduk tepi pantai tengok anak bulan, bayangkan lah, ketika waktu senja berlabuh, orang-orang kampung termasuklah tok imam sekali sedang melihat anak bulan ditepi pantai dengan budak2 bermain-main di gigi air termasuk lah saya sekali disitu menanti anak bulan syawal muncul. begitu lah kebisaannya kampung saya bila nak sambut raya je mesti ramai-ramai orang kampung duduk tepi pantai sambil melihat kemunculan anak bulan.

bila anak bulan dah nampak apa lagi bergema la takbir raya di masjid, masa itu budak2 kampung termasuklah saya bersama-sama kawan saya mengelilingi kampung dengan bunga api ditangan berjalan-jalan sambil mencari kawan-kawan lain dan bersorak-sorak, begini lah meriahnya suasana dikampung masa budak2 dulu. lepas dah penat berjalan-jalan dalam kampung, balik rumah suruh mak inai tangan, itu lah yang selalu dilakukan bila menjelang hari raya, bangun esok paginya tengok inai ditangan dah tercabut, habis bantal jadi tompok-tompok merah kerana inai, al maklum la budak2 tido ganas sangat, raya punya pasal tak la kena marah, kalau tak dah habis la kena bantai. pagi2 lagi dah kena kejut dengan ayah, kalau nak ikutkan memang tak nak bangun tapi sebab raya punya hal bangun awal pagi pun tak kisah, lepas tu mandi pula kat perigi, huh bayangkanlah betapa sejuknya air perigi pada waktu pagi, sebab tu la sampai terketar-ketar badan menahan sejuk. hanya orang kampung saja lah yang tau betapa sejuknya air perigi tu.

bila tiba je pagi raya, budak2 kampung riuh-rendah dah berlari sana-sini, dengan pakaian yang baru dibeli bergaya la masing2. begitulah selalunya yang berlaku di waktu pagi raya dan keadaan ini berterusan hingga lah ke malam. begitu la serba sedikit raya dikampung dulu, kemeriahannya dapat dirasa dan begitu bermakna, tetapi sekarang kemeriahan hanya tinggal kenangan saja tak lagi macam dulu, dah hampir sepuluh tahun dah meninggalkan kampung halaman dan tak pernah jengok kampung halaman pun sejak berpindah ke johor.

Thursday, September 25, 2008

Kisah bulan puasa

semua orang tahu bulan puasa ni terdapat banyak rahmat allah dan merupakan penghulu bagi segala bulan. Seperti yang kita tahu di bulan puasa ni terdapat banyak kisah2 yang memberikan keinsafan kepada kita dan tak kurang juga ada kisah2 yang memberi semangat untuk kita terus hidup. apa yang saya nak cerita disini adalah berkenaan dengan kampung saya.

kisahnya bermula begini, setiap tahun apabila tiba je bulan puasa akan ada satu budaya yang selalu diamalkan di kampung saya. iaitu budaya mengejut orang kampung bersahur, pelik kan nak sahur pun kena kejut ke tapi itulah budaya kampung saya, dan yang lebih menarik lagi adalah orang yang kejutkan orang kampung sahur adalah budak2 belaka yang diketuai oleh seorang duda, Setiap hari selepas solat terawih saja semua budak2 kampung akan berkumpul di madrasah di sebelah masjid, saya sekali la terlibat, kami akan membawa dulang dari rumah ke rumah mengelilingi kampung minta kuih-muih yang ada untuk kami buat bekalan sahur pada pagi itu. lepas dah penat pusing satu kampung kami simpan kuih-muih yang dibagi tadi di dapur madrasah dan kami semua akan tido di madrasah tersebut.

apabila waktu sahur nanti ketua kami akan kejutkan kami semua untuk sahur, lepas sudah sahur, kami akan berarak mengelilingi kampung sambil menjerit 'bangun sahur' di setiap rumah yang kami lalu, kadang-kadang kami berzanji atau marhaban semasa keliling kampung, lepas dah habis pusing satu kampung kami balik ke madrasah untuk solat subuh dan lepas tu baru la kami balik rumah masing-masing. begitu lah rutin hidup kami setiap hari pada bulan puasa mengejut orang kampung sahur. itulah suasana yang berlaku di kampung saya, cukup menarik dan unik.

Monday, September 22, 2008

Selasai sudah

Alhamdullillah......nampaknya minggu ni banyak betul majlis berbuka puasa diadakan, al maklumlah setahun sekali saja kita buat, jadi kalau tak buat rasa macam tak meriah pula bulan puasa ni. inilah yang dikatakan rahmat dibulan puasa.

pada hari sabtu lepas Suksis yang buat majlis buka puasa, lepas tu belum pun habis penat mengacau dodol, kolej teratai pula yang buat majlis buka puasa pada hari berikutnya iaitu hari ahad. yang ni agak meriah juga la sebab ramai juga penghuni-penghuni yang turut membantu menjayakan majlis ni, semua badan uniform terlibat.

selain tu, dapat juga tengok-tengok badan uniform lain sibut buat kerja, bagus la saling bantu-membantu walaupun tak berapa kenal sangat dengan uniform lain. dan pada hari ni pula satu lagi majlis buka puasa ala kadar saja untuk skuad 4 suksis bersama jurulatih. walaupun simple saja majlisnya tapi kemeriahan tetap ada.

Thursday, September 18, 2008

Pening

Entah la apa nak jadi pun tak tau la. minggu ni banyak betul assignment nak kena siapkan. kalau assignment je tak kisah la sangat tapi ditambah lagi dengan presentation dalam kelas.....huh, boleh tahan la juga pening kepala nak siapkan tu.

kalau nak present esok hari ni baru nak siapkan, mana tak kelam kabut dibuatnya tapi itulah kebiasaan yang berlaku, kalau tak ada tekanan asyik lepak je sampai last minute baru terkejar-kejar nak buat. entah la dah blur dah otak ni memikirkan masalah yang dihadapi. tak tau la apa nak jadi, tawakal je lah.

Saturday, September 13, 2008

Hari Raya

Bila sebut hari raya saja ramai yang berfikir tentang balik kampung, beli baju baru, buat kuih muih, hias rumah cantik-cantik, dan sebagainya.itulah tradisi yang berlaku sejak sekian lama dipupuk apabila tiba hari raya.

marilah kita fikir sejenak dalam menyambut ketibaan hari raya ini. persoalannya disini apa sebenarnya hari raya yang selalu kita sambut ini, adakah ianya satu hari yang besar atau bagaimana? kalau benar hari raya itu hari yang besar, dimanakah letak kebesaran atau keutamaannya. apakah hakikat hari raya yang sebenarnya dan kalau lah hari raya itu hari yang besar, bagaimana pula kita patut menyambutnya, apakah yang patut kita lakukan pada hari itu atau bagaimanakah patut kita mengisinya? atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan bersembahyang hari raya, mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan.

Hari raya aidil fitri adalah hari raya yang disambut selepas kita menunaikan puasa selama sebulan. pada masa kini, masyarakat kita tidak lagi menghayati pengertian hari raya yang sebenarnya, mereka kira hari raya puasa hari untuk berseronok, berpesta dan bersuka ria, hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat nafsu mereka daripada perkara yang membatalkan puasa. semua perkara ini berlaku kerana pengertian sebenar hari raya sudah dilupakan dan yang lebih malang lagi ada yang tidak tahu apa sebenarnya hari raya itu.

pengertian hari raya yang sebenarnya cukup mudah iaitu 'mengembalikan fitrah'. apa yang dikatakan mengembalikan fitrah itu ialah kita dapat lihat pada nama hari raya itu sendiri iaitu 'Aidil Fitri'. daripada nama hari raya ini, 'aidil' itu sendiri bermaksud 'mengembalikan' dan 'Fitri' itu bermaksud 'Fitrah'. dalam erti kata lain, aidil fitri bermaksud hari menyambut kejayaan mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

selama sebelas bulan dalam setahun manusia bergelumang dengan nafsu dan dunia. selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori, dan dirosakkan. fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. dengan rahmat dan kasih sayang allah dikurniakan kepada kita satu bulan dalam setahun iaitu bulan ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang lemah itu dapat dibersihkan disuci dan dikuatkan semula. supaya kerakusan nafsu itu dapat ditekan dan diimbangi. kalau tidak, nafsu akan bermaharajalela ke atas manusia dan melakukan kerosakkan dimuka bumi ini.

Friday, September 12, 2008

Memahami nafsu manusia

Nafsu kalau tidak dididik ke arah kejahatan pun, dia tetap akan buat kejahatan. Betapalah kalau dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat. Malang bagi suatu bangsa yang nafsunya memang jahat, dididik, diasuh dan dibaja pula ke arah kejahatan. Akan lahirlah orang pandai yang jahat, orang bodoh yang jahat, pemimpin yang jahat dan pendidik yang jahat. Sebab itu nafsu perlu dikenali tahap-tahapnya. Nafsu wataknya memang jahat.


Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, ditingkatkannya daripada jahat kepada baik, maka Tuhan akan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Itu janji Tuhan. Sebab itu nafsu kena dididik. Nafsu adalah musuh utama manusia. Kedua baru syaitan. Nafsu musuh dalaman. Syaitan hanya musuh luaran. Tetapi pelik, manusia tidak pandang seperti itu. Sebab itu orang yang besarkan Tuhan akan memandang nafsu itu besar dan wajib diperangi. Nafsu itulah yang sangat menyusahkan. Sebab itu dalam ajaran Islam kita mesti bermujahadah dalam melawan nafsu. Di dalam ajaran Islam, nafsu ada tujuh peringkat:

1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, "Saya anak jantan." Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.

2. Nafsu Lawwamah
Nafsu yang mencerca dirinya sendiri. Sentiasa kesal dengan diri sendiri. Tidak hendak berbuat jahat tetapi tidak mampu melawan nafsu. Bila melakukan kejahatan, sedih tapi buat lagi. Contohnya, ketika lalu di kebun orang, ternampak limau, rambutan dan sebagainya, walaupun sudah berazam tidak akan mencuri, tetapi ambil dan mencuri lagi. Orang nafsu di peringkat ini sudah mula sedar tetapi tidak larat hendak melawan hawa nafsunya.

3. Nafsu Mulhamah
nafsu yang telah diberi ilham, sudah mula dipimpin, diberi hidayah. Tuhan ambil perhatian sebab dia sudah mula mendidik nafsunya. Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melawan nafsunya, atas belas kasihan Allah maka Tuhan akan pimpin. Oleh kerana baru dididik, ibarat orang berjalan hendak menyeberang dan melintas jalan yang di tengah-tengah ada benteng, dia sudah berada di atas benteng. Ertinya dia sudah di atas sempadan.

4. Nafsu Mutmainnah
Istilah mutmainnah bermaksud tenang, tidak digugat oleh kesenangan dan kesusahan, tidak digugat oleh sihat atau sakit, orang hina atau orang puji. Semuanya sama sahaja. Pujian orang tidak menyebabkan hati terasa sedap dan tidak berbunga. Orang keji, tidak terasa sakit. Tidak ada perasaan hendak marah atau berdendam. Sebab hatinya sudah tenang, perkara positif atau negatif tidak menggugatnya.

5. Nafsu Radhiah

Orang yang berada di peringkat nafsu radhiah ini, dia meredhai apa sahaja yang Allah takdirkan kepadanya. Ia terhibur dengan ujian. Ia merasakan ujian adalah hadiah dari Tuhan. Bila orang menghinanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dan dia rasa bahagia. Sebab itu mereka yang berada di peringkat ini, bila kena pukul, mereka rasa puas. Bila ditampar, seolah-olah minta ditampar lagi.

6. Nafsu Mardhiah

Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi:

"Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan."

Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.

7. Nafsu Kamilah

Orang yang sempurna atau hampir sempurna keimanannya. Bagi nafsu kamilah, manusia biasa tidak boleh sampai ke tahap macam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya setakat peringkat keenam sahaja iaitu mardhiah. Ini sudah taraf wali besar.

Hari ini nafsu sudah tidak diperangi dan tidak dianggap musuh yang wajib diperangi. Sebab itu, tanyalah sesiapa sekalipun, tidak ada seorang pun yang memasukkan pendidikan nafsu dalam sukatan pelajaran. Ayat Al Quran dan Hadis yang dibaca dan dipelajari di sekolah pun tidak ada ayat-ayat yang berkaitan dengan nafsu dan kejahatannya.

Usaha memerangi nafsu tidak diaplikasikan dalam tindakan. Bila sebut musuh, yang mula-mula nampak ialah Yahudi dan Amerika sahaja. Sedangkan Yahudi dan Amerika itu hanya mainan nafsu sahaja. jadi, sebagai seorang manusia fikir-fikir dan renungkanlah dimanakah tahap nafsu kita sekarang. usaha mendidik nafsu ini perlu diteruskan supaya kita sebagai manusia ini akan terus menjadi manusia yang sebenarnya.

Sunday, September 7, 2008

Latihan M16

Pagi tadi kami semua skuad 4 ada latihan menembak M16 di padang bola sepak dekat pusat sukan. baru latihan je belum lagi menembak, mengikut maklumat terkini yang disampaikan En. Khalid iaitu jurulatih bagi skuad 4 ,kami akan pergi menembak pada 18 oktober ni di Kuala Kubu Baru, Selangor.



Tak sabar rasanya, inilah aktiviti yang paling saya minat dalam suksis sebab bukan semua orang berpeluang dapat bermain dengan senjata dan yang lebih menarik lagi turuk di ajar mengenai senjata M16 ini. Dah bertambah lagi pengatahuan dan pengalaman, semua ni sebab suksis dan kerana sebab inilah saya masuk suksis.


Selain senjata M16, senjata Revolver (pistol) juga sudah kami semua merasai bagaimana pengalaman mengendalikan senjata ini pada semester lepas. setakat ini suksis sahaja yang ada aktiviti menembak revolver dan inilah kelebihan suksis, dan bagi mereka yang menjadi anggota suksis tahu la bagaimana pergerakan aktiviti Suksis ini kerana ia cukup mudah dan relaks.

Suksis


apabila sebut tentang suksis je ramai yang yang tertanya-tanya ape tu. rupanya masih ramai lagi yang belum tahu suksis tu ape. maklum lah perkara baru mesti la tak tahu kan, ape pun biarlah saya terangkan serba sedikit tentang suksis ni sebab saya ni merupakan anggota suksis(setakat yang saya tahu la).

suksis ni badan beruniform ko-kurikulum, suksis ni nama singkatan dari Kor Sukarelawan Polis Siswa/siswi ataupun dipanggil Kor Suksis. Suksis ni sama juga dengan badan uniform lain seperti palapes, bomba, kesatria, dan lain-lain lagi la. habis tu ape yang membezakan suksis ni dengan badan uniform lain?. sebenarnya cukup banyak perbezaan terutama dalam pengisian aktiviti atau program yang dijalankan.

Contoh aktiviti yang menarik yang dijalankan Kor Suksis antaranya adalah seperti menembak Revolver (pistol), menembak M 16, Kursus Merin, Kursus pandu arah dan baca peta, dan banyak lagi la. kalau nak tahu lebih lanjut lagi datang la ke pejabat Suksis di Kolej Kenanga/Cempaka.

Tuesday, September 2, 2008

Medan Berjihad

Kedatangan bulan ramadhan dinanti-nantikan oleh umat islam di seluruh dunia, penantian ini disebabkan oleh keberkatan ataupun rahmat yang terdapat di bulan ini yang mana tidak terdapat pada bulan lain.
dalam bulan ramadhan ini umat islam diwajibkan berpuasa, ini kerana puasa itu merupakan satu ibadah yang telah ditetapkan oleh allah s.w.t dalam rukun islam.
Bulan ramadhan merupakan medan untuk kita berjihad melawan hawa nafsu, ini merupakan jihad yang paling besar dalam kehidupan seharian kita sepanjang bulan ini. Jadi tidak hairanlah kenapa ganjarannya begitu besar disediakan bagi mereka yang berusaha untuk menghadapi ujian ini.

permulaan baru

Salam sejahtera, alhamdulillah setelah lama menyepi dari blog ini, kini saya kembali dengan harapan baru untuk menghidupkan kembali blog saya yang telah lama ditinggalkan. Ini bukan permulaan baru sebenarnya kerana sebelum ini saya telah pun membuka blog ini, tetapi sekarang saya ingin membuat sedikit perubahan pada blog saya supaya pengisiannya lebih bermakna pada diri saya dan juga kepada pembaca.